GEORGETOWN: Syarikat
pengeluar simen terbesar di Malaysia digesa memberi alasan susulan tindakan
mereka menaikkan harga barangan itu antara 40 hingga 50 peratus di seluruh
negara, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, ia berikutan kenaikan harga terbabit turut
mengakibatkan kesan rantaian kepada pelbagai industri lain, khususnya syarikat
pemaju perumahan.


Katanya, aduan kenaikan itu sudah dikemukakan kepada Timbalan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng
Jen, malah pertemuan bagi membincangkan isu terbabit dijangka dibuat minggu
depan.
“Kita nak tahu adakah kenaikan ini berpunca daripada impak
monopoli apabila syarikat terbabit mengawal 85 peratus pasaran simen negara,
selain ia hanya menggunakan bahan tempatan.
“Perkara ini perlu diambil berat dan perhatian serius oleh
kerajaan kerana ia hanya memberi keuntungan besar kepada satu atau dua
syarikat, sebaliknya memusnahkan lebih banyak industri dan ekonomi negara,”
katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan
Malaysia ( REHDA) negeri, Datuk Toh Chin Leong serta Pengerusi Persekutuan
Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) negeri, Datuk Dr Ooi Eng Hock.
Sementara itu, Eng Hock berkata, kenaikan harga simen itu
memberi kesan peningkatan antara 15 hingga 20 peratus kos pembinaan rumah,
selain turut menjejaskan harga jualan kediaman kepada orang ramai.
“Kita tidak pasti apa sebab di sebalik kenaikan harga simen ini.
Tambahan pula, simen dijual dengan harga RM9 permeter padu (m3) ketika nilai
mata wang negara sedang jatuh pada paras RM4.40 bagi AS$1
“Bagaimanapun, kini simen dijual sehingga RM16
per m3, sedangkan nilai mata wang negara sudah semakin kukuh. Ini antara lain
akan menjejaskan harga jualan rumah mampu milik di negara ini,” katanya.


Comments
Post a Comment